Monday, August 24, 2009

Cabaran-cabaran dalam berdakwah

Align Center

Terdapat dua perkara utama yang menjadi cabaran dalaman kepada gerakan dakwah di Malaysia kini iaitu personaliti dan sikap orang Islam sendiri. Sebahagian umat Islam kini, mereka kelihatan sukar mempertahankan personaliti unggul sebagai muslim sejati seperti yang diharapkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah. Personaliti negatif yang dipamerkan tersebut menyukarkan usaha untuk mempromosi atau memasarkan Islam pada pihak lain, terutama yang bukan Islam.

Selain itu juga kesukaran umat Islam untuk melahirkan golongan pendakwah Muslim yang bersifat mutafaqqih fi al-din hanya secara ikhlas dan amanah, iaitu golongan yang mendalami ilmu keagamaan Islam secara menyeluruh dan betul. Personaliti Muslim seperti ini agak sukar dibentuk kerana tabi’I manusia yang sentiasa terpengaruh dengan tuntutan keduniaan yang sememangnya kelihatan sangat mencabar.

Segolongan individu yang terlibat dengan kerja dakwah adalah tidak professional. Mereka mendakwa menjalankan kerja dakwah tetapi tidak mempunyai bahan dakwah yang mencukupi dan tidak relevan dengan keperluan golongan sasaran dakwah. Ramai pendakwah yang hanya boleh menyampaikan apa yang mereka miliki, bukan apa yang sebenarnya diperlukan oleh masyarakat. Aspek perancangan dan penilaian tentang aktiviti dakwah tidak sangat diberi perhatian.


Dakwah kini lebih bersifat tabligh dan retorik dengan hanya difahami sebagai satu usaha menyampaikan pesanan tentang Islam kepada manusia. Isi dan bahan dakwah yang disampaikan kini lebih bersifat informatif. Disamping itu, segolongan para pendakwah juga tidak memiliki pengetahuan dan kemahiran tentang metodologi yang jelas bagaimana dakwah itu harus dijalankan.


Para pendakwah pada masa kini kurang memiliki asas strategi yang baik, tidak memiliki ‘common interest’, kurang perencanaan dan kurang mempunyai wawasan yang jelas apabila menjalankan aktiviti dakwah. Para pendakwah juga tidak memiliki kemahiran berdakwah yang mencukupi seperti tidak mempunyai pengetahuan asas yang mencukupi tentang ilmu berdakwah. Akibatnya golongan tersebut tidak mampu memberikan landasan konseptual, kontekstual dan kordinasi yang kukuh dalam kerja-kerja dakwah.


Sikap prejudis masyarakat bukan Islam terhadap umat Islam telah menyukarkan gerakan dakwah. Tuduhan-tuduhan terhadap Islam selalu dilemparkan oleh golongan bukan Islam, seperti Islam itu mundur, zalim, tidak sesuai dengan masa dan tamadun dan Islam tidak mampu untuk membina kekuatan manusia masa kini.

Peristiwa-peristiwa yang berlaku terutamanya di negara-negara Islam digambarkan sebagai lambang keganasan kumpulan-kumpulan orang Islam. Dengan adanya prejudis seperti ini, bukan setakat menghilangkan tarikan orang bukan Islam untuk mengenali Islam, malah menimbulkan kebencian mereka terhadap Islam dan penganutnya. Akibatnya, usaha-usaha dakwah yang diatur untuk masyarakat bukan Islam agak sukar untuk mendapat perhatian mereka.




1 comment: