Tuesday, October 13, 2009

HEDONISME !!!



Masyarakat hari ini khasnya golongan remaja terlalu mengagung-agungkan budaya Barat berbanding budaya ketimuran kita sendiri. Mereka beranggapan budaya Barat tersebut mempunyai kepentingannya yang tersendiri bagi diri mereka sehingga sanggup mengenepikan norma-norma dan etika dalam masyarakat Melayu. Jika dilihat secara kasarnya, golongan remaja ini semakin mementingkan hiburan dan kepuasan diri sehingga sanggup membelakangkan tanggungjawab utama dalam kehidupan. Fenomena yang dikenali sebagai hedonisme ini dilihat semakin kritikal dari sehari ke sehari, memerlukan pendekatan yang menyeluruh dari semua pihak agar gejala ini tidak terus merebak dan menjadi barah dalam diri remaja.

Hedonisme berasal daripada istilah Greek ‘Hedone’ iaitu pleasure (keseronokan atau kelazatan) atau happiness (kegembiraan) ialah kebaikan . Ia merupakan satu budaya yang lahir daripada asas sekularisme yang menolak domanisasi fahaman agama dalam kehidupan manusia dan ia juga merupakan neokolisme yang dikhususkan serangannya kepada generasi muda oleh Barat seperti melepak, mengunjungi pesta hiburan, seks bebas dan sebagainya.

Bagi kefahaman yang lebih jelas, hedonism disifatkan sebagai satu fahaman yang mementingkan kesukaan dan kemewahan dalam kehidupan tanpa menghiraukan larangan agama dan tatasusila serta mementingkan kepuasan nafsu semata-mata . Drs . Sudarno di dalam bukunya menyifatkan hedonisme sebagai satu doktrin yang memandang kesenangan sebagai kebaikan yang paling utama dan kewajipan seseorang ialah mencari kesenangan bagi tujuan kehidupan . Ia beranggapan bahawa sesuatu perbuatan yang baik adalah yang mendatangkan kelazatan atau rasa nikmat .

Dari sudut perspektif Islam, Al-Quran mengaitkan hedonisme dengan kehidupan mementingkan keduniaan dan hawa nafsu sehingga lupa kepada perintah Allah . Mereka lazimnya bercirikan keras hati, sombong, melakukan maksiat, zalim dan kuat berangan . Oleh sebab itulah, Islam menolak keras hedonisme kerana sudah terbukti ia amat bertentangan dengan prinsip-prinsip syariah Islam. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud : “ Sesungguhnya orang yang tidak mengharapkan (tidak percaya akan) pertemuan dengan kami, dan merasa puas dengan kehidupan itu dan melalaikan ayat kami. Mereka itu tempatnya ialah neraka. Disebabkan apa yang selalu mereka kerjakan” .


No comments:

Post a Comment