Friday, August 21, 2009

MEMBINA UMAT BERKUALITI


Pada hari ini bilangan umat Islam bertambah ramai dari hari ke hari. Lihat sahaja betapa ramainya umat Islam yang saban tahun berkumpul di Arafah Mekah al-Mukarramah. Tidak seperti bilangan Hujjatul Wida’ yang dihadiri oleh Rasulullah S.A.W. Namun perlu diingatkan betapa sekalian umat Islam hendakalah berusaha meningkatkan kualiti diri bagi membentuk Ummatan Wasatan (umat berkualiti), cemerlang, gemilang dan terbilang kerana tanpa usaha dan kesungguhan, kita khuatir termasuk ke dalam kumpulan yang tidak menghiraukan arahan Allah di dalam al-Quran al-Karim.



Justeru, marilah kita bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-sebenar ketaqwaan iaitu ketaqwaan yang akan memagar diri daripada kepanasan api neraka dengan memperbanyakkan amalan-amalan kebaikan dan tidak melakukan perkara dosa dan maksiat. Maksud firman Allah tadi: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri dan keluarga kamu daripada api neraka yang menyala dengan bahan bakar manusia dan batu-batu serta dikawal rapi oleh para malaikat yang garang, tegas dan taat dalam melakukan segala arahan tanpa gagal”.

Sahabat-sahabat sekalian,
Individu yang tidak taat kepada ajaran Islam adalah antara penyumbang kepada lahirnya umat yang tidak berkualiti, lantas bilangan yang ramai tidak menambah dan sedikit tidak mengurang. Abu Daud meriwayatkan hadis daripada Sauban bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “ Hampir tiba masanya nanti pelbagai bangsa akan mengerumun untuk membaham kamu sepertimana orang-orang yang menghadapi hidangan makanan lalu sahabat bertanya: adakah pada waktu itu umat Islam di kalangan minoriti? Jawab Baginda: tidak ! bahkan kamu adalah majoriti tetapi hanya seperti buih di kala banjir”.


Umat berkualiti adalah umat yang cemerlang dalam kehidupan dan mengambil al-Quran sebagai ‘Way of Life’. Umat berkualiti adalah umat yang sentiasa melalui kehidupan dengan suasana kebaikan mengerjakan solat lima waktu tanpa lalai, berpuasa sebulan ramadhan tanpa tipu, mengeluarkan zakat tanpa rasa berat dan teraniaya serta sentiasa berfikiran positif terhadap segala ajaran Islam untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian.


Perutusan Rasulullah S.A.W membawa al-Quran yang mengandungi ayat berjumlah 6326 atau 6666 bukan hanya untuk membentuk manusia yang mementingkan diri sendiri, hanya mahu masuk syurga sendirian. Lantas beramal soleh berterusan tanpa menghirau masyarakat sekeliling. Lantaran in Rasulullah S.A.W pernah bersabda bermaksud: “Sesiapa yang tidak ambil peduli perihal urusan orang Islam lain, mereka bukan dikalangan umat Islam seperti kita”. Allah Taala menyebut : “kamu (sahabat-sahabat Rasulullah) adalah sebaik-baik umat dilahirkan kepada seluruh manusia. Kamu berperanan menyuruh mereka berbuat baik, mencegah kemungkaran dan kamu beriman.



Oleh itu, setiap umat Islam perlu menyediakan sahsiah, keperibadian yang mantap bagi menanggung amanah tersebut, jika tidak kita khuatir akan menjadi seperti ummah yang terdahulu yang disebutkan tadi. Kita khuatir kerana Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud: “Akan datang pada manusia satu zaman dikala itu Islam tidak tinggal melainkan namanya dan al-Quran hanya tulisannya dan masjid-masjid indah namun kosong dari petunjuk”.

No comments:

Post a Comment