Monday, August 24, 2009

NiLai Se0raNg WaNiTa



Harga dan Nilai seorang wanita
lebih-lebih lagi wanita muda
Bukan kecantikan dan kepandaian
Pakaiannya sopan,
pandai menjaga maruah dirinya

Jika pakaian tidak sopan, maruah tidak dijaga,
Lelaki si hidung belang,
mata keranjang memang suka
Tapi dia tetap tidak percaya

Lelaki yang soleh tidak akan menjadikan isterinya
Kecuali lelaki macam dia
Tapi biasanya susah hendak kekal
di alam perkahwinannya

Selalu sahaja bercerai, sekalipun cantik mukanya
Adakalanya masih muda lagi
suaminya sudah dua, tiga
Kalaupun kekal kerana hendak menjaga
wibawa dirinya.

Rumahtangga bagai Neraka
Duduk di rumah amat terseksa
Anak-anak porak-peranda
Masyarakat membenci, orang tidak percaya

Dimana-mana sahaja
orang akan bercakap dan berkata
Mengumpat dan menghina tentang dirinya
Oleh itu wanita
hargailah dirimu
kerana dirimu begitu berharga...

Cabaran-cabaran dalam berdakwah

Align Center

Terdapat dua perkara utama yang menjadi cabaran dalaman kepada gerakan dakwah di Malaysia kini iaitu personaliti dan sikap orang Islam sendiri. Sebahagian umat Islam kini, mereka kelihatan sukar mempertahankan personaliti unggul sebagai muslim sejati seperti yang diharapkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah. Personaliti negatif yang dipamerkan tersebut menyukarkan usaha untuk mempromosi atau memasarkan Islam pada pihak lain, terutama yang bukan Islam.

Selain itu juga kesukaran umat Islam untuk melahirkan golongan pendakwah Muslim yang bersifat mutafaqqih fi al-din hanya secara ikhlas dan amanah, iaitu golongan yang mendalami ilmu keagamaan Islam secara menyeluruh dan betul. Personaliti Muslim seperti ini agak sukar dibentuk kerana tabi’I manusia yang sentiasa terpengaruh dengan tuntutan keduniaan yang sememangnya kelihatan sangat mencabar.

Segolongan individu yang terlibat dengan kerja dakwah adalah tidak professional. Mereka mendakwa menjalankan kerja dakwah tetapi tidak mempunyai bahan dakwah yang mencukupi dan tidak relevan dengan keperluan golongan sasaran dakwah. Ramai pendakwah yang hanya boleh menyampaikan apa yang mereka miliki, bukan apa yang sebenarnya diperlukan oleh masyarakat. Aspek perancangan dan penilaian tentang aktiviti dakwah tidak sangat diberi perhatian.


Dakwah kini lebih bersifat tabligh dan retorik dengan hanya difahami sebagai satu usaha menyampaikan pesanan tentang Islam kepada manusia. Isi dan bahan dakwah yang disampaikan kini lebih bersifat informatif. Disamping itu, segolongan para pendakwah juga tidak memiliki pengetahuan dan kemahiran tentang metodologi yang jelas bagaimana dakwah itu harus dijalankan.


Para pendakwah pada masa kini kurang memiliki asas strategi yang baik, tidak memiliki ‘common interest’, kurang perencanaan dan kurang mempunyai wawasan yang jelas apabila menjalankan aktiviti dakwah. Para pendakwah juga tidak memiliki kemahiran berdakwah yang mencukupi seperti tidak mempunyai pengetahuan asas yang mencukupi tentang ilmu berdakwah. Akibatnya golongan tersebut tidak mampu memberikan landasan konseptual, kontekstual dan kordinasi yang kukuh dalam kerja-kerja dakwah.


Sikap prejudis masyarakat bukan Islam terhadap umat Islam telah menyukarkan gerakan dakwah. Tuduhan-tuduhan terhadap Islam selalu dilemparkan oleh golongan bukan Islam, seperti Islam itu mundur, zalim, tidak sesuai dengan masa dan tamadun dan Islam tidak mampu untuk membina kekuatan manusia masa kini.

Peristiwa-peristiwa yang berlaku terutamanya di negara-negara Islam digambarkan sebagai lambang keganasan kumpulan-kumpulan orang Islam. Dengan adanya prejudis seperti ini, bukan setakat menghilangkan tarikan orang bukan Islam untuk mengenali Islam, malah menimbulkan kebencian mereka terhadap Islam dan penganutnya. Akibatnya, usaha-usaha dakwah yang diatur untuk masyarakat bukan Islam agak sukar untuk mendapat perhatian mereka.




Saturday, August 22, 2009

Merdeka..merdeka !!!


Jika ditanya pada generasi muda masa kini tentang apakah erti kemerdekaan, pastinya mereka akan memberikan pelbagai jawapan ada yang positif ada juga yang negatif.
Namun, tingkah laku anak-anak muda sewaktu Sambutan Hari Kemerdekaan memperlihatkan bahawa jiwa masih lagi dijajah belum merdeka sepenuhnya.

Seseorang manusia itu akan merasa merdeka dalam kehidupannya apabila tidak ada pihak yang mengongkongnya dan dia bebas melakukan apa sahaja tanpa sekatan samada dari segi perbuatan, pemakaian, pemikiran dan sebagainya. Di dalam Islam, seseorang hamba itu bebas apabila ia bebas untuk melakukan ibadat dan mengamalkan syariat Islam tanpa halangan daripada mana-mana pihak. Seseorang Muslim itu akan merasa aman dan harmoni serta tenang untuk beribadah.

Walau setinggi mana seseorang itu menyambut kemerdekaan tetapi tidak pernah mengingati dan mengabdikan diri kepada Allah SWT, jiwa mereka tidak akan merasa aman dan harmoni kerana diganggu oleh krisis keyakinan dalam diri. Tidak mungkin mereka akan mengorbankan jiwa, harta, masa dan tenaga untuk agama, bangsa dan negara.

Justeru, kemerdekaan dan pengabdian adalah 2 perkara yang berbeza yang perlu ada dalam jiwa umat Islam untuk mencapai kemerdekaan yang sebenar. Sempena Hari Kemerdekaan yang disambut pada bulan Ramadhan ini adalah sebaiknya kita menyambut hari kemerdekaan dengan penuh kesyukuran dan bersederhana.

Pemalukah Kita???

Saban hari di dada akhbar kita mendengar pelbagai jenayah yang berlaku di dalam negara dan di luar negara seperti kejadian buang bayi, rogol, zina, merompak, rasuah, pergaduhan dan sebagainya. Terdapat banyak faktor yang menyebabkan berlakunya perkara-perkara mungkar ini. Antaranya adalah kerana hilangnya sifat malu dalam diri. Rasa malu umpama perisai yang dapat menghalang manusia daripada melakukan perkara-perkara mungkar dan maksiat. Sifat malu juga menjadi kayu ukur kepada tahap keimanan seseorang individu Muslim itu dalam menentukan tinggi rendah akhlaknya.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Iman mempunyai lebih dari tujuh puluh cabang dan sifat malu adalah salah satu cabang iman". (Hadith Riwayat Muslim). Sekiranya perasaan malu tertanam di dalam jiwa pastinya seseorang itu akan merasa malu jika dikatakan tidak beramanah, malu digelar penjenayah dan sebagainya. Ia dapat menghindarkan kita daripada melakukan kejahatan dan mendorong kita melakukan kebaikan.

Namun begitu, sifat malu boleh menjadi sifat tercela sekiranya ia bukan diletakkan di tempat yang betul. Misalnya malu menegakkan kebenaran, malu bertanya apabila tidak tahu, malu memakai hijab dan lain-lain lagi. Jika malu bertanya perkara yang tidak diketahui, tetapi rela membiarkan diri terus berada dalam kejahilan maka, sifat malu ini adalah sangat ditegah oleh Islam. Seharusnya sifat malu itu hendaklah sejajar dengan syariat agama Islam


Pemuda-pemudi Islam Masa Kini



Kadangkala,
aku malu melihat pemuda-pemudi Islam hari ini,
tiada segan silu menyepit sepuntung rokok di jari,
tak kiralah putera mahupun puteri

Kadangkala,
aku sedih dengan gejala sosial remaja,
dadah menjadi tempat menenangkan jiwa,
rempit,rogol dan ragut menjadi racun kehidupan remaja

Kadangkala,
aku terfikir mengapa mudah remaja
mengalirkan air mata kerana
hiburan semata-semata
sedangkan alangkah indahnya
andai air mata itu mengalir kerana
perjuangan yang tiada sia-sia.

Kadangkala,
aku sendiri tertanya-tanya
masihkah ada pemuda
seperti ashabul kahfi???
mungkin masih ada tapi,
sukar di cari....

Friday, August 21, 2009

Mengapa Tak Nak Berdakwah???


Dakwah ialah usaha pepindahan paradigma umat manusia kepada suatu tahap yang sesuai dengan tabiat semula jadi manusia.Ia berasal daripada istilah Arab iaitu Da'a, Yad'u, Da'watan. Dalam Bahasa Arab dakwah bererti menyeru, menjemput, menasihat, memperbaiki dan sebagainya.Manakala, di dalam Bahasa Inggeris pula disebut missionary activity,prayer,calling on,invocation dan lain-lain lagi.

Dakwah atau berdakwah merupakan kewajipan setiap individu Muslim yang mukallaf. Usaha dakwah sangat penting bagi meningkatkan cara hidup masyarakat ke arah jalan yang diredhai Allah SWT. Namun,mengapa kini masih ramai lagi yang memberikan alasan untuk berdakwah? Antaranya adalah kerana:-


1)Alasan-Tidak Cukup Ilmu
-secara logiknya sampai mati pun ilmu kita tidak akan mencukupi kerana ilmu kurniaan Allah ini terlalu luas seluas lautan di muka bumi. Namun, yang ilmu yang diberikan hanyalah setitis daripada air di lautan.Oleh itu, agak mustahil untuk kita menguasai segala jenis ilmu. Sampaikan apa sahaja ilmu yang kita tahu walaupun sedikit.


-sesetengah orang bimbang sekiranya mad'u (orang hendak yang didakwah) itu, akan bertanyakan soalan-soalan yang tidak mampu dijawab oleh diri mereka sendiri. Seandainya dai'e (pendakwah) tidak tahu jawapan kepada soalan yang diutarakan janganlah memandai-mandai 'menggoreng' kerana buruk akibatnya nanti. katakan sahaja bahawa kamu tidak tahu dan akan berusaha mencari jawapannya. Misalnya:"Bagus soalan itu, nanti saya cari jawapannya" atau "Soalan awak itu membantu saya memahami agama saya, nanti saya carikan jawapannya" ataupun "kumpulkan soalan-soalan anda dahulu, jawapannya akan saya berikan kemudian."

2)Alasan-Diri Sendiri Belum Baik
- apabila kita berdakwah secara tak langsung ia akan membantu kita memperbaiki diri sendiri. Jika dilihat pendakwah masa kini yang kita kenali, adakah akhlak mereka sempurna dari segala segi? tidak bukan... namun, mereka tetap berdakwah. Saya juga ingin mengingat diri saya sendiri dan rakan-rakan sekalian marilah kita bersama-sama berusaha memperbaiki akhlak kita. Manusia sememangnya tidak sempurna. Akhlak yang tonjolkan menjadi cermin akan imej Islam itu sendiri khususnya kepada orang bukan Islam.

3)Alasan-Nak Jaga Urusan Sendiri Sahaja.
-sesungguhnya mengingatkan orang lain tentang kebenaran adalah 'urusan' setiap Muslim. Tidak kasihankah kita pada mereka (orang-orang kafir yang tidak pernah diceritakan tentang Islam) dan golongan yang ingkar kerana mereka akan dicampakkan ke dalam neraka. Sepertimana firman Allah di dalam Surah An-Nissa' ayat 56 yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana."



-mungkin sebahagian mad'u akan marah sekiranya kita menegur perbuatannya. Di sinilah pendakwah perlu bijak mengawal keadaan, cari kaedah yang sesuai untuk menegur kesalahan mad'u jangan bertindak melulu atau memalukan mad'u. Sesiapa pun tidak akan selasa jika ditegur atau dinasihati dengan cara yang kasar. Oleh itu, kepada para dai'e sekalian gunakanlah otak gEliGa anda!!! >(^^,)<

MEMBINA UMAT BERKUALITI


Pada hari ini bilangan umat Islam bertambah ramai dari hari ke hari. Lihat sahaja betapa ramainya umat Islam yang saban tahun berkumpul di Arafah Mekah al-Mukarramah. Tidak seperti bilangan Hujjatul Wida’ yang dihadiri oleh Rasulullah S.A.W. Namun perlu diingatkan betapa sekalian umat Islam hendakalah berusaha meningkatkan kualiti diri bagi membentuk Ummatan Wasatan (umat berkualiti), cemerlang, gemilang dan terbilang kerana tanpa usaha dan kesungguhan, kita khuatir termasuk ke dalam kumpulan yang tidak menghiraukan arahan Allah di dalam al-Quran al-Karim.



Justeru, marilah kita bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-sebenar ketaqwaan iaitu ketaqwaan yang akan memagar diri daripada kepanasan api neraka dengan memperbanyakkan amalan-amalan kebaikan dan tidak melakukan perkara dosa dan maksiat. Maksud firman Allah tadi: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri dan keluarga kamu daripada api neraka yang menyala dengan bahan bakar manusia dan batu-batu serta dikawal rapi oleh para malaikat yang garang, tegas dan taat dalam melakukan segala arahan tanpa gagal”.

Sahabat-sahabat sekalian,
Individu yang tidak taat kepada ajaran Islam adalah antara penyumbang kepada lahirnya umat yang tidak berkualiti, lantas bilangan yang ramai tidak menambah dan sedikit tidak mengurang. Abu Daud meriwayatkan hadis daripada Sauban bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “ Hampir tiba masanya nanti pelbagai bangsa akan mengerumun untuk membaham kamu sepertimana orang-orang yang menghadapi hidangan makanan lalu sahabat bertanya: adakah pada waktu itu umat Islam di kalangan minoriti? Jawab Baginda: tidak ! bahkan kamu adalah majoriti tetapi hanya seperti buih di kala banjir”.


Umat berkualiti adalah umat yang cemerlang dalam kehidupan dan mengambil al-Quran sebagai ‘Way of Life’. Umat berkualiti adalah umat yang sentiasa melalui kehidupan dengan suasana kebaikan mengerjakan solat lima waktu tanpa lalai, berpuasa sebulan ramadhan tanpa tipu, mengeluarkan zakat tanpa rasa berat dan teraniaya serta sentiasa berfikiran positif terhadap segala ajaran Islam untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian.


Perutusan Rasulullah S.A.W membawa al-Quran yang mengandungi ayat berjumlah 6326 atau 6666 bukan hanya untuk membentuk manusia yang mementingkan diri sendiri, hanya mahu masuk syurga sendirian. Lantas beramal soleh berterusan tanpa menghirau masyarakat sekeliling. Lantaran in Rasulullah S.A.W pernah bersabda bermaksud: “Sesiapa yang tidak ambil peduli perihal urusan orang Islam lain, mereka bukan dikalangan umat Islam seperti kita”. Allah Taala menyebut : “kamu (sahabat-sahabat Rasulullah) adalah sebaik-baik umat dilahirkan kepada seluruh manusia. Kamu berperanan menyuruh mereka berbuat baik, mencegah kemungkaran dan kamu beriman.



Oleh itu, setiap umat Islam perlu menyediakan sahsiah, keperibadian yang mantap bagi menanggung amanah tersebut, jika tidak kita khuatir akan menjadi seperti ummah yang terdahulu yang disebutkan tadi. Kita khuatir kerana Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud: “Akan datang pada manusia satu zaman dikala itu Islam tidak tinggal melainkan namanya dan al-Quran hanya tulisannya dan masjid-masjid indah namun kosong dari petunjuk”.

Thursday, August 20, 2009

Kelebihan Surah-Surah di dalam al-Quran



Surah-surah al-Quran ini berfungsi sebagai Penghalang pelbagai keadaan:-


1-Surah al-Fatihah(1):
-ia dapat menghalang seseorang daripada mendapat kemarahan Allah SWT.

2-Surah Yaasin(36):
-berupaya menghalang seseorang daripada rasa yang sangat haus pada Hari Kiamat.

3-Surah ad-Dukhan(44):
-menghalang seseorag itu daripada kedasyatan di Hari Akhirat.

4-Surah al-Waqi'ah(56):
-menghalang seseorang daripada kefakiran.
5-Surah al-Mulk(67):
-ia menghalang seseorang itu daripada ditimpa azab kubur.

6-Surah al-Kauthar(108):
-boleh menghalang seeorang daripada suka bermusuhan.

7-Surah al-Kafirun(109):
-ia menghalang seseorang itu menjdai kafir ketika hendak mati.

8-Surah al-Ikhlas(112):
-dapat menghalang seseorang itu daripada menjadi munafik.

9-Surah al-Falaq(113):
-menghalang seseorang itu daripada berhasad dengki kepada orang lain.

10-Surah an-Nas(114):
-menghalang seseorang daripada keadaan was-was.

Sebaiknya, amalkan surah-surah ini sentiasa..
>(^^,)<

Monday, August 3, 2009

Latihan Industry & Dakwah Bil Hal



Semester yang lalu, saya telah menjalani latihan industri atau juga dipanggil latihan praktikal. Seperti yang semua maklum latihan industri ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang alam pekerjaan sebelum mereka menempuh alam pekerjaan yang sebenar. Mula-mula tu ingat nak praktikal tu sekadar nak isi masa lapang je.

Tambahan pula, macam-macam cerita yang kurang enak di dengar masa praktikal seperti disuruh menjadi tea lady, tukang photosat la macam-macam lagi laa… tapi, syukurlah saya tidak mengalami nasib sedemikian. Sepanjang 2 bulan di Pejabat Agama Islam Daerah Bera banyak pengalaman serta ilmu diperolehi , yang tidak terdapat di dewan kuliyah. Maknanya praktikal ini telah berjaya bagi ilmu dan pengalaman kat saya huhu..

Sebelum menjalani latihan praktikal seringkali saya tertanya-tanya apakah peranan pejabat agama kepada masyarakat setempat. Selepas masuk dan bekerja di pejabat agama ini barulah saya bidang kuasa pejabat agama ni agak terhad sehingga menyukarkan mereka untuk melaksanakan tugas.

Dalam banyak-banyak program yang saya sertai bersama Pejabat Agama Bera..saya tertarik dengan salah satu aktiviti. Iaitu program gotong-royong di rumah warga tua di Sang Riang. Di rumah kebajikan ini kebanyakan penghuninya terdiri daripada bangsa cina dan hanya 10% sahaja kaum Melayu.

Apa yang saya perhatikan di sini..warga emas di sini memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada masyarakat. Sebahagiannya mempersoalkan mengapa tidak melakukan program sedemikian di rumah kebajikan orang Islam. Namun, apa yang dapat saya fahami program ini adalah salah satu kaedah atau method dakwah Bil Hal. Tambahan pula terdapat sebilangan penghuni adalah daripada orang Islam. Oleh itu, ia penting bagi memastikan keadaan, kebajikan, ibadat dan makanan mereka terjaga.

Di sini bermula....

Assalamualaikum wbt...


Pertamanya, syukur Alhamdulillah kerana dengan izinNya dapat juga saya mencoretkan sesuatu yang mungkin berharga buat semua. Sememangnya telah lama saya idamkan untuk menulis di dalam blog sama seperti blogger yang lain. Namun, kesibukan di kampus seringkali membantutkan keinginan saya untauk menulis blog. Diharap blog ini dapat memberi manfaat kepada semua.


Wassalam..